BUTTERWORTH, 12 April – Peniaga di Pasar Awam Seberang Jaya jelas
gembira dengan keprihatinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertanyakan keadaan
dan masalah mereka semasa Timbalan Perdana Menteri melakukan tinjauan mesra di
pasar itu hari ini.

Seorang peniaga kedai makan, Haji Abdul Rahman Amir Hussin berkata,
“Saya sempat meluahkan masalah peniaga di sini seperti masalah tempat sesak
serta keadaan bumbung yang sudah lama serta pembaharuan ruang yang selesa
diperlukan.”

Peniaga berusia 64 tahun itu berkata dia berasa teruja apabila kedainya
dipilih Muhyiddin untuk bersarapan.

“Tidak sangka Timbalan Perdana Menteri akan menjamu selera di sini. Beliau
dijamu roti jala, roti canai dan kuih-muih seperti karipap, kuih seri muka dan
lompang atas permintaannya,” kata pemilik Aabah Kafe yang sudah beroperasi
selama 20 tahun itu kepada pemberita.

Muhyiddin melakukan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang dan antara atur
cara beliau ialah mengadakan mesyuarat dengan pimpinan Barisan Nasional (BN)
negeri bagi persiapan menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang
Pauh pada 7 Mei ini.

Muhyiddin yang turut beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di pasar
itu kira-kira 30 minit, turut menerima bunga ros daripada peniaga N. Komathi
ketika singgah di kedai wanita berusia 61 tahun itu.

“Saya sangat seronok apabila nampak Timbalan Perdana Menteri datang kedai
saya dan bertanya khabar. Jadi saya bagi bunga ros dan ia adalah kali pertama
saya memberi bunga kepada pemimpin,” katanya yang sudah lima tahun berniaga di
situ.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan calon
manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei.- Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY