KUALA LUMPUR, 11 Julai – Keyakinan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan penggiat industri minyak dan gas masih berpeluang meneroka industri berdaya tahan dalam keadaan ekonomi mencabar.

Ahmad Zahid berkata, keadaan ketika ini adalah waktu terbaik untuk penggiat industri mempelbagaikan produk atau menawarkan perkhidmatan berkaitan, selain menambah segmen pasaran termasuk meneroka bidang hiliran baharu.

Jika 2016 adalah tahun sukar membuat keputusan dalam industri minyak dan gas, tahun ini berupaya membuka jalan untuk pemulihan.

“Berlaku peralihan pemikiran dalam kalangan penggiat minyak dan gas yang bersandar kepada projek kitaran yang lebih singkat untuk mengurangkan risiko.

“Banyak syarikat mengambil peluang membaik pulih dan menaik taraf kemudahan, kemahiran dan kepakaran sepanjang tempoh ini dalam usaha memperkukuhkan kedudukan syarikat apabila industri ini kembali pulih.

“Kita sudah melihat dan akan terus lihat ketidaktentuan dalam industri ini apabila syarikat lemah dan tidak bersedia meninggalkan industri.

“Ada banyak peluang yang boleh diterokai oleh penggiat minyak dan gas tempatan serta serantau dalam pasaran semasa yang turun naik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia Ke-16 (OGA 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Pameran tiga hari bermula hari ini yang membabitkan penyertaan lebih 2,000 syarikat minyak dan gas daripada 60 negara.

 

Ahmad Zahid berkata, OGA 2017 berperanan penting dalam merangsang peluang kepada penggiat industri.

Menyifatkan Malaysia sebuah negara stabil berikutan makin banyak penggiat industri minyak dan gas multinasional menubuhkan pangkalan serantau di negara ini, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga memulakan usaha untuk mengukuhkan perdagangan dua hala Malaysia-Qatar yang sebelum ini terjejas dengan kejatuhan harga bahan api itu.

Ahmad Zahid turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Wenmax Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh T7 Global Berhad dan Honeywell International Sdn Bhd.

PAMERAN ITU TURUT MENARIK 11 PAVILION ANTARABANGSA DARI AUSTRALIA, CHINA, PERANCIS, JERMAN, AMERIKA UTARA, NORWAY, SCOTLAND, SINGAPURA, KOREA SELATAN, BELANDA DAN UNITED KINGDOM.

OGA 2017 yang akan menonjolkan teknologi, peralatan, mesin terkini industri kejuruteraan minyak, gas dan petrokimia dijangka menarik minat 23,000 pengunjung. – WD MY