SIBU 31 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yakin Pelan Transformasi Sosial Ekonomi yang dirancang kerajaan negeri mampu dicapai dalam tempoh disasarkan.

Beliau berkata, perpaduan yang diamalkan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini menjadi kunci kejayaan rancangan pembangunan itu.

“Jika semangat perpaduan yang menjadi amalan di Sarawak terus dipertahankan, tidak mustahil pelan transformasi itu dicapai menjelang 2030.

“Malah, saya juga percaya kejayaan pelan transformasi yang bersandarkan kepada perpaduan yang utuh akan menjadikan Sarawak negeri paling maju dalam tempoh 15 tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam sempena lawatan kerja beliau ke Sibu di Dewan Suarah, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Terdahulu, berucap pada  Program Siswa Komuniti di Rumah Panjang Bungan, Batu 8, Jalan Oya, di sini, Ahmad Zahid menyifatkan populariti Adenan semakin melonjak, yang jelas dibuktikan melalui sokongan rakyat terhadap perjuangannya yang ikhlas.

“Tan Sri Adenan (Satem) sentiasa memastikan semua rungutan rakyat khususnya di peringkat akar umbi didengari, seterusnya diambil tindakan sewajarnya.

“Inilah faktor populariti beliau… rakyat cukup menyenanginya keperibadinya. Beliau bukan sengaja untuk mencari populariti semata-mata, tetapi beliau popular kerana ikhlas dalam perjuangannya untuk membantu rakyat Sarawak,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY