KUALA LUMPUR, 21 Dis – Dukacita…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita dengan insiden pesawat Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pulau Pinang petang ini.
Dalam catatan di akaun Twitternya, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam
Negeri, turut meminta anggota keluarga mangsa yang terlibat agar bersabar
menempuhi saat-saat yang menyedihkan itu.
“Saya amat berdukacita yang mendalam atas kemalangan pesawat TUDM dan
kematian pilot (juruterbang) serta kecederaan. Semoga keluarga bersabar,”
katanya.
Dalam kejadian pada 5.18 petang itu, sebuah pesawat jenis Beechcraft
B200T terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth, menyebabkan juruterbangnya maut,
manakala tiga yang lain cedera.
Sehingga kini, identiti kesemua mangsa yang terlibat masih belum disahkan.
Sumber polis berkata mayat juruterbang itu dan kesemua yang cedera dihantar
ke Hospital Seberang Jaya. – WD MY