PETRA JAYA, 3 Julai – Rakan Baik…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan pemergian Datuk Daud Abdul Rahman sebagai kehilangan besar dalam pengurusan agama Islam khususnya di Sarawak.

Menurut Ahmad Zahid, bekas Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak itu seorang yang prihatin dengan hal ehwal Islam dan anak yatim sepanjang kariernya dalam politik.

Allahyarham cukup mementingkan pendidikan Islam ketika menjawat jawatan dalam pentadbiran Sarawak.

“Kami rapat ketika saya ditugaskan menjaga hal ehwal Islam sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan beliau (Allahyarham Daud) pula memegang portfolio sama mewakili Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham Daud di kediamannya di Larut Skim Jalan Matang Jaya, Matang.

Ahmad Zahid meluangkan masa 30 minit menziarahi jenazah dan bertemu balu dan anak Allahyarham.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg. Allahyarham Daud, 66, meninggal dunia kerana sakit jantung di sebuah hospital swasta di Kuching.

Jenazahnya akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Gita, Petra Jaya. – WD MY