SHIJIAZHUANG, 27 Okt – BAHAN API….. Tram buatan China menggunakan sel bahan api hidrogen yang pertama di dunia, memulakan operasinya di Tangshan, wilayah Hebei, utara China, lapor agensi berita Xinhua.

Ia hasil buatan China Railway Rolling Corporation Tangshan Co. Ltd.

Tram berkenaan tidak menyebabkan pencemaran kerana sisa buangan yang dilepaskan hanya air dan tiada nitrogen oksida dihasilkan, kerana suhu tindak balas bahan api hidrogen dikawal di bawah 100 darjah Celsius.

Menggunakan teknologi terkini, jarak antara lantai tram dengan landasan hanya 35 sentimeter untuk memudahkan penumpang naik turun.

Hidrogen boleh diulang isi dalam masa 15 minit dan boleh bergerak sejauh 40 kilometer pada kelajuan maksimum 70 kilometer sejam.

Tram tersebut akan beroperasi di landasan kereta api berusia 136 tahun di bandar Tangshan, bandar perindustrian terawal di China. – WD MY