PUTRAJAYA, 12 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan mempersiap golongan belia untuk menghadapi pelbagai cabaran dunia.

Menurut beliau, usaha transformasi dengan penambahbaikan dan pengisian modul latihan lebih yang bertepatan akan memastikan para pelatih bersedia menghadapi cabaran ekonomi, politik dan isu keganasan memandangkan dunia kian berubah.

“Kita perlu memastikan perubahan itu sesuai dengan keadaan semasa. Kita harus pastikan PLKN dapat menampung perubahan dan cabaran yang akan dihadapi para belia dalam landskap baharu yang bakal mereka terajui kelak,” katanya selepas menghadiri Sesi PLKN Bersama Menteri di sini, hari ini.

Sebelum itu, Hishammuddin bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meninjau dan perjalanan Makmal Transformasi PLKN, yang diadakan sejak 21 Feb lepas.

Mereka turut mendengar maklum balas daripada para peserta dan pihak-pihak berkepentingan berhubung hasil dapatan makmal transformasi itu, khususnya hala tuju serta strategi pelaksanaan transformasi PLKN yang dicadangkan.

Hishammuddin berkata elemen patriotisme dan kesukarelawanan yang merupakan tunggak pembinaan negara akan dikekalkan dalam modul PLKN.

Beliau berkata makmal itu, yang kini memasuki fasa pertengahan, akan melihat kerangka awal pelan transformasi yang bakal dibentuk sebelum meneruskan penghasilan resolusi yang muktamad pada fasa seterusnya.

Makmal itu dianggotai 75 orang terdiri daripada wakil kementerian seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri serta pihak berpentingan lain termasuk universiti, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pengusaha kem, jurulatih dan bekas pelatih PLKN, ibu bapa dan tenaga pakar.

Hishammuddin berkata hasil makmal itu akan dikongsikan bersama seluruh rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka yang bakal diadakan selepas makmal transformasi PLKN tamat.

“Orang awam dijemput untuk memberi pandangan dan maklum balas terhadap pelaksanaan model PLKN yang baharu, sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata Makmal Transformasi PLKN berjalan dengan lancar di mana beberapa perkara dikenal pasti untuk ditambah baik.

Beliau berkata semua cadangan yang diberikan akan dikemukakan kepada Kabinet sebelum dibincangkan dengan orang awam pada Hari Terbuka itu.

“Jika ada cadangan untuk penambahbaikan, kita akan melakukannya dengan melibatkan orang ramai,” katanya.
-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY