KUALA KRAI, 5 Nov – TERKANDAS…… Lebih 70 penumpang tren dari Kuala Lipis, Pahang ke Tumpat terkandas lebih dua jam di Dabong, berikutan kejadian tanah runtuh.

Kejadian berlaku jam 6.30 petang semalam di kilometer 392 antara Dabong dan Bukit Abu disebabkan hujan lebat.

Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Zaid Ibrahim ketika dihubungi berkata, kesemua penumpang dibawa ke stesen kereta api Kuala Krai menggunakan bas.

“Tren dari Kuala Lipis itu bertolak dari stesen Dabong pada jam 6.05 petang dan terpaksa berhenti sebaik dimaklumkan kejadian tanah runtuh di KM392.

“Tren terpaksa berundur semula ke Dabong kerana laluan tidak dapat dilalui,” katanya.

Zaid berkata, kerja membaik pulih laluan akan dilakukan dalam masa terdekat dan pihaknya sedang menunggu respon dari pasukan jurutera yang bertugas. – WD MY