JOHOR BAHRU, 4 Nov – TERGELINCIR…… KTM Berhad (KTMB) memaklumkan laluan Kempas Baru-JB Sentral ditutup sementara, berikutan berlaku kegelinciran tren shuttle KTM Intercity Nombor 44 (JB Sentral-Gemas), di kilometer 747.59, Kempas malam tadi.

Unit Komunikasi Korporat KTMB dalam satu kenyataan di sini, hari ini memaklumkan kejadian pada jam 11.15 malam itu, mengakibatkan landasan di antara laluan Kempas Baru-JB Sentral ditutup sementara untuk semua perkhidmatan tren sektor Selatan.

Bagaimanapun, ia dijangka kembali pulih, Isnin ini selepas kerja baik pulih yang dijalankan sekarang, selesai.

KTMB turut memaklumkan operasi perkhidmatan tren sektor Selatan yang terkini, iaitu tren KTM Intercity Nombor 26, Ekspres Timuran, laluan JB Sentral ke Tumpat, penumpang akan dibawa menggunakan bas dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kempas Baru, sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren dari Stesen Kempas Baru ke Stesen Tumpat.

“Bagi Tren KTM Intercity Nombor 27, iaitu Ekspres Timuran, laluan Tumpat ke JB Sentral, penumpang akan menggunakan perkhidmatan tren dari Stesen Tumpat ke Stesen Kempas Baru sahaja dan akan dibawa menggunakan bas untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Kempas Baru ke Stesen JB Sentral.

“Tren shuttle KTM Intercity Nombor 40, 42 dan 44 iaitu laluan JB Sentral-Gemas, penumpang akan dibawa menggunakan bas dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kempas Baru, sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren dari Stesen Kempas Baru ke Stesen Gemas,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan tren shuttle KTM Intercity Nombor 41, 43 dan 45, iaitu laluan Gemas-JB Sentral, penumpang akan menggunakan perkhidmatan tren dari Stesen Gemas ke Stesen Kempas Baru sahaja dan dibawa menggunakan bas untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Kempas Baru ke Stesen JB Sentral.

“Penumpang yang ingin membatalkan perjalanan layak mendapatkan pemulangan tambang penuh atau membuat pertukaran tarikh perjalanan bergantung kepada kekosongan tiket.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KTMB memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya. – WD MY