NEW YORK, 21 Feb – Mogok…. Lebih 10,000 penunjuk perasaan yang membantah Presiden Donald Trump berarak di bandar raya ini, melaungkan ‘bukan presiden saya’ semalam, disertai ribuan lagi di seluruh bandar raya Amerika Syarikat (AS) ketika negara itu meraikan cuti Hari Presiden.

Selepas sebulan di Rumah Putih, Trump dijangka kembali ke Washington selepas menghabiskan cuti hujung minggu di kediamannya, Mar-a-Lago, di Miami Beach, Florida, mendapat gelaran ‘Rumah Putih Musim Sejuk.’

Bantahan ‘Hari Bukan Presiden Saya’ bertujuan menunjukkan bantahan akar umbi terhadap Presiden Republikan itu yang masih bertahan sebulan selepas majlis angkat sumpah pada 20 Januari lalu.

Aktivis anti-Trump mengambil kesempatan cuti umum itu untuk menganjurkan perhimpunan di beberapa bandar raya termasuk Los Angeles, Chicago, Atlanta dan Washington.

Di jalan raya di sini, penunjuk perasaan pelbagai lapisan umur dan latar belakang berkumpul di Columbus Circle, di depan Hotel Trump International dan berhampiran Central Park, untuk meluahkan kekecewaan mereka.

Di Los Angeles, penunjuk perasaan membawa sepanduk anti-Trump di luar Dewan Bandaraya, sebahagiannya berbunyi ‘1. Menentang 2. Pecat’ dan ‘Trump Sakit Mental’ dengan huruf ‘u’ pada namanya digantikan dengan gambar tukul dan sabit, lambang Komunis Russia. – WD MY