WASHINGTON, 10 Okt – PERANG…. Rumah Putih mengisytiharkan perang terhadap siasatan pendakwaan Presiden Donald Trump, menyelar proses itu sebagai berat sebelah, tidak sah dan menyalahi Perlembagaan.

Ia juga menegaskan Trump dan pentadbirannya tidak akan memberi kerjasama.

Dalam surat bernada tegas, Rumah Putih mencabar Speaker Dewan, Nancy Pelosi dan pengerusi tiga panel Kongres yang mengetuai siasatan, meminta mereka meneruskan usaha menyingkirkan Trump walaupun tanpa sebarang kerjasama.

“Mudah sahaja, anda mahu menarik balik keputusan pilihan raya 2016 dan menafikan presiden yang dipilih secara bebas oleh rakyat Amerika Syarikat.

“Siasatan anda tidak ada asas Perlembagaan sah, berunsur penipuan malah tiada perlindungan proses paling asas,” kata peguam Rumah Putih, Pat Cipollone, dalam surat setebal lapan muka surat mengenai siasatan yang menimbang sama ada Trump menyalah guna kuasa dengan melakukan siasatan rasuah pencabarnya, Joe Biden, di Ukraine.

Katanya, Trump tidak boleh membenarkan pentadbirannya mengambil bahagian dalam siasatan berat sebelah dalam keadaan itu.

Keengganan terbuka Rumah Putih itu meletakkan Washington dalam laluan ke arah krisis Perlembagaan dan masalah tidak diketahui, dengan kemungkinan ada kes mahkamah ketika negara itu semakin bersedia berhadapan pilihan raya 2020.

Pelosi melancarkan siasatan pendakwaan secara rasmi bulan lalu selepas pendedahan Trump menekan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam panggilan telefon kontroversi pada 25 Julai lalu. — WD MY