WASHINGTON, 1 April – Tandatangani……. Presiden Donald Trump akan melancarkan siasatan bagi membongkar amalan perdagangan berat sebelah seluruh dunia, sekali gus memberi amaran kepada negara yang didapati memburukkan defisit perdagangan Amerika.

Bagi menunjukkan ketegasannya, Trump menandatangani dua perintah eksekutif yang mengarahkan kakitangan pentadbirannya mengemukakan nama negara dan barangan yang bertanggungjawab terhadap defisit perdagangan hampir AS$50 bilion (RM221 bilion) sebulan negara itu.

Sebahagian besar butiran mengenai defisit berkenaan sudah diketahui umum, tetapi langkah Trump menguatkan hasratnya untuk bertegas dalam hal ehwal perdagangan dan dilihat sebagai amaran kepada seluruh dunia.

Pegawai tertinggi pentadbiran AS menggambarkan arahan berkenaan sebagai langkah awal menggerakkan kempen ‘Utamakan Amerika’ yang dijanjikannya ketika kempen pilihan raya presiden.

Sepanjang kempen itu, Trump berikrar meletakkan Amerika pada kedudukan yang lebih menguntungkan dalam hubungan dagang di dunia.

Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross, berkata susulan arahan itu, penganalisis akan meneliti ‘negara demi negara dan produk demi produk’ sebelum melaporkan kembali kepada Trump dalam masa 90 hari.

Arahan berkenaan diberikan seminggu menjelang pertemuan Trump dengan President China, Xi Jinping dan besar kemungkinan dilihat sebagai amaran halus kepada Beijing.

“Yang jelas, penyebab utama defisit berkenaan ialah China,” kata Ross, sebelum menyebut lebih sedozen lagi ‘negara yang dirasakan terbabit sama’. – WD MY