BALAKONG, SEPTEMBER 6:JAWATAN KUASA….Kerajaan Negeri Selangor digesa menubuhkan jawatankuasa khas dan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan masalah rumah terbengkalai di negeri itu.

Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong berkata, jawatankuasa khas itu perlu mengkaji punca masalah dan jalan penyelesaian.

Menurutnya, berdasarkan makluman yang diterima, Selangor menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan jumlah rumah terbengkalai di seluruh negara pada kadar 41.8 peratus berbanding negeri lain.

“Kebanyakan projek terbengkalai ini didakwa berpunca daripada pelbagai bayaran tinggi yang dikenakan oleh kerajaan tempatan terhadap pemaju perumahan.

“Kami memerlukan wakil-wakil rakyat mencari penyelesaian terhadap masalah ini untuk melindungi kepentingan pihak terbabit,” katanya pada sidang media di pusat operasi MCA PRK DUN Balakong di sini hari ini.

Jelasnya mengikut statistik KPKT sejak tahun 2009, satu pertiga daripada jumlah rumah terbengkalai terletak di Selangor.

“Setakat Jun 2017, Selangor menduduki tempat pertama dalam jumlah projek rumah terbengkalai.

“Daripada jumlah 67 projek terbengkalai di seluruh negara, 28 darinya terletak di Selangor,” katanya.-MY WD