KUALA LUMPUR,JUN 10:TUBUH…UMNO wajar mewujudkan Majlis Penasihat Presiden dianggotai veteran parti termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bagi memberi pandangan dan nasihat kepada pemimpin utama menentukan hala tuju parti orang Melayu terbesar itu.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata penubuhan majlis itu akan membolehkan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, diberi ruang mengisi kekosongan jawatan nombor satu parti.

“Elok jika ada pelan mewujudkan Majlis Penasihat Presiden UMNO dianggotai Tengku Razaleigh, (bekas Presiden UMNO) Tun Abdullah Ahmad Badawi dan beberapa pemimpin kanan parti bertindak sebagai penasihat presiden.

“Kita beri sokongan kepada Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO untuk mengadakan rundingan dan memastikan parti tidak terus retak dan berpecah.

“Saya yakin UMNO akan terus kukuh dengan wujudnya majlis ini dan rakyat akan lihat UMNO boleh bersatu selepas kekalahan parti pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ini adalah pandangan peribadi saya demi kepentingan UMNO supaya kita terus bergerak sebagai keluarga besar UMNO, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh atau Ku Li menyatakan kesediaan mempertimbangkan permintaan akar umbi supaya beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO.

Armand Azha berkata, Ahmad Zahid dan Ku Li mendapat sokongan peringkat akar umbi bagi mengisi kerusi Presiden UMNO.

“Kedua-duanya penting dalam UMNO bagi proses pengukuhan parti. Ahmad Zahid mempunyai kekuatan akar umbi manakala Ku Li mempunyai pengalaman dalam UMNO.

“Ini dua perkara yang amat penting bagi UMNO bangkit. UMNO tidak boleh kehilangan salah seorang daripada mereka demi memastikan kekuatan parti di semua peringkat,” katanya.-MY WD