KUALA LUMPUR, 15 Sept – Dua batu tanda peringatan di Sabah, sebagai memperingati pahlawan negara yang terkorban sewaktu insiden pencerobohan pengganas di Sabah pada 2013 akan dibina.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi batu tanda yang akan menjadi memorial peringatan mengenang lapan pahlawan negara yang gugur ketika Ops Daulat itu, akan didirikan di Kampung Tandao, Lahad Datu dan Kampung Seri Jaya di Simunul, Semporna.

Dengan adanya batu tanda itu, diharapkan ia dapat menyemarakkan semangat patriotisme dan integriti dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Pemuda hari ini perlu diterapkan dengan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu seperti Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang dan ramai lagi yang berkorban demi mempertahankan negara,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Program Gemilang Patriotisme: Ku Wariskan Kedaulatan serta pelancaran jenama baharu IIM, malam tadi.

Teks ucapan beliau pada majlis itu dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ahmad Zahid berkata kemajuan yang dicapai oleh negara juga menjadikan generasi hari ini kurang menghayati kemerdekaan yang sedang dikecapi.

“Mereka mengambil mudah nikmat hidup yang dikecapi ketika ini dan lupa bahawa keamanan yang wujud dalam negara sejak sekian lama adalah hasil keringat dan darah para pahlawan yang rela berjuang hingga ke titisan darah terakhir suatu ketika dahulu,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY