BENTONG, 4 Sept – RIBUT…..  Tujuh rumah dan sebuah kilang cili mengalami kerosakan akibat dilanda ribut di Kampung Lebu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Yusuf Unis berkata kebanyakan rumah yang terlibat mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Semua mangsa yang terlibat masih berada di rumah masing-masing dan tiada perpindahan berlaku. Setakat ini dua laporan polis dibuat di Balai Polis Lurah Bilut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Bentong Datuk Azhar Arshad mengesahkan seorang lelaki warga emas cedera ringan dihempap kayu alang dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bentong.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bentong, Kapten (PA) Mohd Alip Roslani pula berkata 11 anggota APM dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melawat kawasan kejadian sebaik menerima maklumat pada 5.32 petang.

Beliau berkata pihak APM juga membantu mengalihkan beberapa pokok tumbang di kawasan berkenaan. – WD MY