KUALA LUMPUR, 22 Sept – Tangga Terbaik……Tujuh universiti di Malaysia, termasuk dua untuk julung kalinya disenaraikan dalam penarafan bertaraf dunia Times Higher Education (THE) World University Rankings 2016-2017 yang baru diumumkan.

Dua universiti yang kali pertama meraih penarafan itu ialah Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di tangga 601-800 dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada kedudukan 801+ dalam senarai membabitkan sejumlah 980 universiti daripada 79 negara.

Universiti lain yang meneruskan pencapaian tahun lalu berada dalam senarai penarafan itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang kekal di tangga 601-800.

Bagaimanapun, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat kemerosotan dengan turut memasuki kelompok tangga 601-800 kali ini berbanding kedudukan 401-500 dalam THE World University Rankings 2015-2016.

Kedudukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berada di tangga 601-800 tahun lalu pula turut menurun kepada 801+ dalam penarafan terbaharu itu.

Menurut keputusan disiarkan laman rasmi THE World University Rankings, University of Oxford mendahului senarai penarafan kali ini selepas berada di tangga kedua tahun lalu, mengambil alih kedudukan California Institute of Technology yang menurun ke tempat kedua.

Selain itu, Stanford University, University of Cambridge serta Massachusetts Institute of Technology mengekalkan kedudukan masing-masing di tangga ketiga, keempat dan kelima. – WD MY

LEAVE A REPLY