KUCHING, NOVEMBER 7: ROGOL….Seorang tukang masak ditahan polis di Jalan Airport, di sini, pagi semalam selepas disyaki merogol anak perempuan tirinya yang berusia 10 tahun.

Suspek lelaki berusia 33 tahun dan berasal dari Kampung Tanjung Bako, di sini itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis pada jam 8.55 pagi sejurus menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek, berkata suspek didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu pada 1 Oktober lalu sehingga mendatangkan kesan trauma ke atas mangsa.

Beliau berkata, suspek melarikan diri dari rumahnya dan cuba bersembunyi selepas menyedari perbuatannya terbongkar.

“Bagaimanapun, hasil maklumat risikan berjaya mengesan lokasi persembunyian suspek sebelum berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam,” katanya.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

“Suspek sudah direman mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjarakan tidak kurang 10 tahun dan sebatan,” katanya.

Ah Lek berkata, orang ramai turut digesa membantu polis dengan menyalurkan maklumat bagi mengekang kegiatan jenayah, khususnya membabitkan kanak-kanak yang menjadi mangsa.-MY WD