KOTA BAHARU, 21 Jun – Tukang masak kapal tangki MT Orkim Harmony,
Mawit Matin, 46, yang cedera ditembak lanun dibenarkan keluar dari Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah 10
Kelantan Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata warga Indonesia itu dibenarkan
keluar pada pukul 12.30 tengah hari.

“Dia kini dibawa oleh anggota APMM ke Kuantan bagi membantu menyelesaikan
siasatan ke atas kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mawit yang ditemani abangnya Marsuki Mohamad Rito, 63, dilihat keluar dari
hospital berkenaan dan terus dibawa menaiki van oleh anggota APMM.

Mawit cedera di paha kiri akibat ditembak lanun ketika beliau dikatakan cuba
melawan seorang daripada perampas kapal itu.

Sementara itu, Marsuki berkata beliau berharap adiknya itu dapat segera
pulang ke Indonesia.

“Apa yang penting dia telah selamat, kami sekeluarga bersyukur dia tidak
mengalami kecederaan yang serius,” katanya.

Kapal milik Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri
daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.

Operasi menyelamat kapal berkenaan yang dirampas lapan orang lanun yang
bersenjatakan pistol dan parang berakhir dengan kesemua anak kapal
dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi Jumaat.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY