KUALA LUMPUR, 3 Julai – Tukar…. Lebih 300,000 pemegang kad nilai simpanan dan konsesi Myrapid perlu menukar kepada kad baharu yang dilengkapi dengan sistem TouchnGo sebelum 15 Julai ini.

Langkah ini akan membolehkan pengguna semua jenis pengangkutan awam menggunakannya kad sama untuk tujuan seperti bayaran tol, menaiki LRT, MRT dan Bas Rapid.

Ketua Eksekutif Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Lim Jin Aun, berkata, kad nilai simpanan Myrapid (warna hitam) boleh ditukar di 79 stesen LRT atau Monorel secara percuma.

Bagaimanapun, setakat ini, pengguna tidak boleh menukar kad di 10 stesen iaitu LRT Abdullah Hukum, Subang Alam, Taipan, Taman Perindustrian Puchong, Cahaya, SS18, USJ21, Miharja, Jelatek dan Damai.

Beliau berkata penukaran kad konsesi membabitkan potongan diskaun 50 peratus kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar pula membabitkan empat kaunter penukaran sahaja.

Katanya, lokasi pertukaran itu adalah di hab Bas Pasar Seni, Transit Aliran Ringan (LRT) Subang Jaya, Awan Besar dan Sri Rampai.

“Penukaran ini mudah tak sampai 10 minit , bagi membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan Transit Aliran Massa, MRT yang hanya menggunakan sistem TouchnGo dan memiliki tiga stesen integrasi di LRT Pasar Seni, Plaza Rakyat dan Maluri.

“Justeru, pengguna kad Myrapid terdahulu perlu menukar kad segera untuk mengelakkan kesulitan apabila kad disekat ketika bertukar laluan LRT ke MRT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi walkabout bersama media meninjau proses dan kaedah pertukaran kad konsesi MyRapid di kaunter penukaran terpilih.

Mengulas lanjut, Jin Aun berkata sebanyak 85,000 pengguna kad sudah berbuat demikian sejak dilancarkan pada 15 Jun lalu.

“Kaunter penukaran dibuka mulai 7 pagi hingga 7 petang.

“Prasarana akan lupuskan kad lama selepas ini, dan keputusan untuk sama ada melanjutkan tempoh penukaran atau tidak akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan memperkenalkan sistem bonus ganjaran seperti dilaksanakan MRT negara jiran, Singapura, Jin Aun mengakui ia akan dilancarkan dalam masa terdekat. – WD MY