LANGKAWI, OKTOBER 21:DUIT….Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan mempraktikkan pendekatan memberi bantuan kewangan kepada rakyat termasuk golongan petani, penternak dan nelayan seperti amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Malah kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, golongan tersebut harus mengubah pemikiran mereka tanpa bergantung semata-mata kepada bantuan atau insentif kewangan daripada kerajaan untuk menambah pendapatan keluarga masing-masing.

“Jangan selalu fikir kerajaan bagi duit senanglah kita. Sikap seperti ini yang jadikan diri kita lemah kalau terima sahaja kita jadi lemah kalau buat kerja jadi kuat.

“Kita selalu nak insentif kalau kita tak bagi insentif kita tak buat (kerja). Insentif terbesar adalah kita usaha kita dapat pendapatan yang bertambah itulah insentif dia.

“Kalau selalu dok tunggu kerajaan bagi apa? Ini kerajaan bagi benih itu satu sumbangan yang cukup bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi di Padang Matsirat, di sini semalam.

Pada majlis sama beliau mengagihkan 1,000 benih pokok kelapa pandan kepada petani, penternak dan nelayan.

Mengulas lanjut beliau menggesa golongan tersebut meniru pendekatan daripada China dan Jepun yang menggunakan teknologi moden dalam meningkatkan penghasilan bekalan makanan mereka.

“Saya baru pergi ke negara China yang mempunyai banyak penduduk jika Malaysia 30 juta di China, 140 juta. Yang saya kagum bagaimana mereka dapat membekalkan sumber makanan khusus kepada rakyat tanpa import dari negara lain.

“Cara mereka keluarkan makanan amat canggih,” katanya.-MY WD