MUAR, MAC 30:TUN M…Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelihatan hebat kerana menerima sokongan kuat daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, berkata sokongan itu membolehkan Dr Mahathir dapat memberi tumpuan dalam usaha membangunkan negara berbanding Perdana Menteri sebelumnya yang berhadapan dengan banyak kekangan.

Beliau memberitahu, pembangunan Malaysia sebenarnya adalah daripada perjuangan   Tunku Abdul Rahman, yang berjaya meletakkan asas kukuh, khususnya dalam menyatupadukan semua rakyat dan agama di negara ini.

“Bagaimanapun, Tunku Abdul Rahman tidak boleh memberi tumpuan terhadap pembangunan negara kerana perlu berhadapan dengan masalah ancaman komunis dan beberapa isu lain.

“Banyak masalah melanda negara pada waktu itu tetapi beliau berjaya meletakkkan asas negara yang kukuh.

“Bila Tunku Abdul Rahman bersara, Tun Abdul Razak pula mengambil alih kepemimpinan negara). Bila ancaman komunis berkurangan, beliau memulakan eranya dengan membasmi kemiskinan, buat Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk bangunkan negara. Dia tubuh FELDA, RISDA, sekolah asrama penuh dan macam-macam lagi.

“Pada zaman Tun Hussein Onn pula, dia meneruskan apa yang sudah dilaksanakan oleh Tun Abdul Razak. Tapi keadaan masa itu sudah banyak berubah… negara dah maju, orang cerdik pandai dah banyak dan ancaman komunis juga semakin berkurangan,” katanya.

Mohd Johari berkata, setelah selesai masalah yang di hadapi oleh Malaysia ketika itu, pentadbiran Malaysia selepas itu telah diambil oleh Dr Mahathir dimana beliau membolehkan beliau memberi tumpuan penuh dalam agenda pembangunan negara.

“Zaman Dr Mahathir segala masalah dah habis. Masalah basmi kemiskinan dan memberi pendidikan kepada anak bangsa dah tak ada.

“Bila dilantik jadi Perdana Menteri, dialah yang buat pembangunan selama 22 tahun dan sebab itulah orang nampak Tun Mahathir hebat kerana apa yang dia tinggal, orang nampak seperti KLIA dan KLCC.

“Tunku Abdul Rahman apa yang orang nampak? Kalau pergi KL (Kuala Lumpur), kita akan nampak tugu peringatan. Tugu peringatan itulah yang jadi asas kepada apa yang kita nampak seperti KLIA dan KLCC seperti hari ini. Saya pernah jadi setiausaha politik beliau dan saya tahulah perkara ini.

“Sebenarnya semua pemimpin kita sama, manusia ini mana ada perfect (sempurna). Yang meletakkan mereka ini hebat, termasuk Tun Mahathir ialah kerana kita, kerana UMNO dan Barisan Nasional yang asasnya sudah diperkukuhkan oleh Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar sejak dari awal lagi,” katanya.- MY WD