SHAH ALAM,OKTOBER 23: KORBAN… Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta sedikit pengorbanan daripada rakyat bagi Bajet 2019.

Beliau mendakwa, kerajaan terdahulu boleh memberikan wang kepada rakyat dalam pelbagai bentuk kerana sumber yang diterima itu adalah daripada hasil curi.

“Pengorbanan yang kita minta bukan banyak sangat. Kerajaan hari ini tidak ada duit untuk beri sama seperti kerajaan dahulu. BR1M, gaji untuk nelayan dan boleh katakan semua orang dapat.

“Ini semua sebab mereka nak beli sokongan. Kalau rakyat anggap kita boleh tolong, undilah. Kita tak boleh bagi duit,” katanya dalam Bicara Minda Sinar Harian yang dikendalikan oleh wartawan veteran, Tan Sri Johan Jaaffar, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan moderator berkenaan pengorbanan daripada rakyat bagi Bajet 2019.

Mahathir berkata, rakyat perlu menerima hakikat bahawa prestasi kewangan negara tidak membenarkan pemberian wang secara percuma.

“Itu adalah pengorbanan besar,” katanya-MY WD