KUALA LUMPUR, NOVEMBER 1: ICERD…Konvokesyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan ditandatangani selepas berunding dengan semua kaum di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menyifatkan, latar belakang demografi Malaysia yang menyaksikan pelbagai lapisan kaum dan bangsa hidup bersama amat sensitif kepada perkara tertentu.

Sehubungan itu, katanya, langkah libat urus perlu dilaksanakan bagi mendapat persetujuan berhubung konvensyen berkenaan, sebelum kerajaan mencatur sebarang keputusan muktamad.

“Kita akan tandatangan selepas kita runding dengan semua kaum di Malaysia, kerana perkara ini bukan mudah memandangkan negara ini ada pelbagai kaum.

“Masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD, di sini, semalam.-MY WD