KUALA LUMPUR, 21 FEB – KURANGKAN…. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berhasrat membangunkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor swasta dengan gaji yang lebih lumayan seperti dalam sektor pembuatan.

Ini katanya, supaya kaedah berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan rakyat untuk bekerja di sektor awam.

“Saya berpendapat hari ini jumlah anggota kerajaan terlalu besar dan ia perlu dikurangkan,” katanya pada sesi dialog bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Mahathir apabila beliau melepaskan jawatan pada tahun 2003, terdapat kira-kira satu juta penjawat awam, tetapi kini angka itu meningkat kepada 1.7 juta tidak termasuk kakitangan off-the-budget yang juga dibiayai oleh kerajaan.

“Sebaliknya dengan menggunakan teknologi-teknologi maklumat, komputer, dan sebagainya, kita oleh kurangkan saiz ini. Tetapi kalau kita kurangkan saiz maka akan berlaku pula masalah tidak ada pekerjaan dan ini menimbulkan masalah sosial kepada kita.

“Sebab itu kita perlu membangunkan negara kita dalam bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai daripada orang kita berpindah daripada bekerja dengan kerajaan kepada kerja dengan swasta dan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa dalam kerajaan sahaja,” katanya.

Mahathir berkata demikian ketika diminta oleh seorang anggota tentera laut untuk berkongsi pandangannya mengenai cara mengurangkan jumlah anggota perkhidmatan awam. – WD MY