CHUKAI, MAC 17:TUN M…Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang bakal bertanding menggunakan tiket DAP adalah tindakan terdesak untuk menang dalam Pilihan Raya Umum-14, nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata tindakan Dr Mahathir itu bertentangan dengan apa yang diperjuangkannya dahulu dalam memartabatkan bangsa Melayu.

“Itu umpama cakap tak serupa bikin. Namun, saya mengalu-alukan beliau bertanding atas tiket DAP kerana dapat memudahkan UMNO menyampaikan penerangan kepada rakyat bahawa apa yang diperjuangkan Dr Mahathir dulu bertentangan dengan apa yang beliau lakukan pada masa ini.

“Dulu beliau menganggap DAP adalah musuh Melayu. Bukan saya cakap, tetapi beliau yang cakap dan hari ini ertinya beliau bekerjasama untuk memberi ruang pada DAP memerintah negara,” katanya selepas melawat tapak Karnival Usahawanita di Kertih, di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, beliau menganggap prinsip yang dipakai oleh Dr Mahathir adalah satu pengkhianatan terhadap bangsanya sendiri.

“Rakyat perlu sedar dan bijak memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan nasib Melayu.

“Oleh itu saya berharap rakyat tidak tersalah pilih dan janganlah pilih pemimpin yang tidak mempunyai pendirian semata-mata demi kepentingan diri,” katanya.

Tindakan Dr Mahathir itu katanya, adalah disebabkan kemelut yang melanda PPBM yang bakal dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selepas dihimpit pelbagai masalah pengurusan dan kepimpinan. – MY WD