TUN M: TIDAK PERNAH MINTA MAAF KEPADA ANWAR

TUN M: TIDAK PERNAH MINTA MAAF KEPADA ANWAR

805
0

KUALA LUMPUR, OKTOBER 3: MAAF…. Tun Dr. Mahathir Moha­mad tidak pernah memohon maaf secara rasmi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri dalam satu wawancara khas bersama media antarabangsa, BBC, semalam.

Dr. Mahathir berkata, pihak lain yang membuat pelbagai andaian terhadapnya kerana mahu beliau meminta maaf ekoran tindakannya memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

“Itu pendapat beliau. Saya tidak pernah memberitahunya, tapi orang lain yang meletakkan perkataan pada mulut saya, sebab mereka mahu saya minta maaf.

“Tapi saya tidak pernah buat sebarang permohonan maaf secara formal kepada beliau,” katanya dalam temu bual tersebut.

Terdahulu, wartawan BBC yang juga hos wawancara tersebut, Zeinab Badawi membacakan semula kenyataan Anwar ketika ditemu bual stesen berita itu, Jun lalu.

“Dr. Mahathir memberitahunya beliau membuat kesilapan dan beliau mahukan peluang untuk membetulkannya,” katanya memetik Anwar.

Dalam wawancara yang sa­ma, Dr. Mahathir berkata, be­liau kesal apabila Anwar dipenjarakan tetapi beliau tidak patut dipersalahkan kerana hukuman itu merupakan keputusan mahkamah.

“Saya menyesal beliau ke penjara tapi saya tak boleh dipersalahkan kerana keputusan itu dibuat oleh mahkamah, bukan dibuat oleh saya,” katanya.-MY WD