KUALA LUMPUR,OGOS 27:KABINET….Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa masih tidak yakin dengan keupayaan barisan Kabinet yang dibentuknya kerana masih enggan membubarkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) walaupun telah melepasi 100 hari pentadbiran kerajaan baharu.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, hal ini bertentangan dengan dakwaan DAP bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu melakukan semak dan imbang secara dalaman serta tidak memerlukan CEP lagi.

Namun, katanya, ahli-ahli jemaah menteri dan wakil-wakil rakyat DAP serta PKR juga seperti bisu dan enggan menyuarakan bantahan mereka terhadap beberapa isu berbangkit kerajaan seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pemansuhan tol dan projek kereta nasional ketiga.

“Alasan Dr. Mahathir bahawa kekurangan pengalaman dalam kalangan menteri-menteri Kabinet adalah disebabkan CEP masih diperlukan, tetapi akan diberi peranan baharu yang membuktikan beliau tidak mempercayai Kabinet sendiri.

“Sebaliknya, CEP akan membantu menteri-menteri Kabinet. Adakah ini bermakna ahli-ahli CEP sebenarnya yang memainkan peranan menteri?” soalnya dalam satu kenyataan di sini semalam.-MY WD