Tun M: Tunai janji tidak mudah

Tun M: Tunai janji tidak mudah

532
0

KUALA LUMPUR, NOVEMBER 5: JANJI… Penyediaan sejuta rumah mampu milik untuk rakyat dalam tempoh 10 tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara diakui oleh Perdana Menteri bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Ini kerana, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedar bahawa untuk melafazkan sesuatu janji itu adalah mudah berbanding melaksanakannya selepas berjaya mendapat mandat daripada rakyat.

Bagaimanapun beliau me­ngulangi komitmen kerajaan yang dipimpin untuk menyedia­kan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun seperti dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

“Buat janji memang mudah, terutama bila pilihan raya, janji apa saja untuk dapat sokongan tapi tunai janji tidak seperti buat janji.

“Sejuta bukan angka kecil untuk rumah, tetapi ini janji kita dan kita akan tunaikan janji untuk bina sejuta rumah dalam jangka masa 10 tahun,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran FundMyHome.com di Eco Majestic di sini hari ini.

Mengulas lanjut dalam sidang akhbar, Dr. Mahathir berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan mempelawa sektor swasta untuk membantu membina rumah mampu milik kepada rakyat.

“Ada rumah yang akan kerajaan bina tetapi kebanyakan kita pelawa sektor swasta untuk membekalkan rumah mampu milik ini kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir yakin usaha EdgeProp Sdn. Bhd. membangunkan skim pembiayaan yang disediakan oleh FundMyHome.com, sebuah platform digital akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.

“Pembeli ditawarkan satu skim yang membolehkan pembeli membayar hanya 20 peratus daripada harga tanah untuk memiliki rumah.

“Dengan pelbagai kediaman bertingkat dan bertanah pada harga dan di lokasi berbeza, baki 80 peratus kos hartanah akan dibiayai oleh institusi yang akan berkongsi pulangan daripada perubahan nilai rumah pada masa depan,” katanya.-MY WD