GEORGETOWN, 7 MAC – ARAH….. Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan pegawainya meneliti isu kekecohan ketika kerja perobohan rumah di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang di Butterworth.

Arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri susulan kekecohan ketika kerja perobohan rumah itu hari ini.

“Saya kini di Manila (Filipina) untuk lawatan rasmi (selama) tiga hari. Sebentar tadi saya dimaklumkan mengenai masalah menimpa penduduk tanah wakaf di Butterworth melalui satu video perhimpunan di sana.

“Saya telah arahkan pegawai saya untuk segera ke sana bagi meninjau masalah itu,” katanya dalam status dimuat naik dalam aplikasi Twitter, malam ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya, mengadakan perbincangan bersama wakil kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, malam ini.

“Saya berbincang dengan kerajaan negeri mengenai isu ini tetapi belum ada sebarang penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Difahamkan, beliau sedang mendapatkan penerangan berhubung isu pengusiran 22 penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis dan tanah wakaf di Butterworth.

Ketika hendak meninggalkan KOMTAR kenderaan dinaiki Abu Bakar dihalang oleh sekumpulan penduduk yang berkumpul di situ, untuk memberi sokongan kepada enam keluarga yang berteduh di bangunan itu.

Abu Bakar juga dijangka mengadakan lawatan ke Tanah Wakaf Abdul Cauder malam ini.

Dalam pada itu, EXCO Alam Sekitar, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, berkata kerajaan negeri menyediakan dua unit penempatan sementara bagi sebuah keluarga yang diusir dari PPR Taman Manggis.

Katanya, kemudahan itu diberikan kepada keluarga Nazrimah Jamal Abidin dan lapan anaknya yang kini berteduh di KOMTAR.

Keluarga itu akan ditempatkan di Anjung Singgah di Jalan Kapitan di sini, dengan cadangan berkenaan sudah dipersetujui Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Shaballah Zainal Abidin.

“Bagaimanapun, kita akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan warganegara menerima bantuan itu. Ini kerana, difahamkan Nazrimah turut membesarkan anak tiri warga Indonesia, hasil daripada perkahwinan terdahulu suaminya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada bantuan sama akan diberikan kepada lima lagi keluarga yang berteduh di KOMTAR. – WD MY