Putrajaya, 19 APRIL – TEKNOLOGI….. Malaysia mampu memanfaatkan sepenuhnya teknologi generasi kelima (5G) dalam tempoh tiga tahun lagi untuk melonjakkan ekonomi negara ke arah lebih kukuh dan mapan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin ia dapat dicapai sekiranya persiapan mencukupi dilakukan untuk menggerakkan transformasi teknologi berkenaan.

Beliau berkata, negara kini berada pada landasan tepat ke arah era baharu dan ia adalah asas penting untuk Malaysia kekal relevan dan berdaya saing.

“Keupayaan untuk mengikuti dan selari dengan kemajuan teknologi akan memberi kesan kepada kejayaan sesebuah ekonomi.

Justeru, saya mengambil peluang ini untuk mengajak pemimpin perniagaan supaya menguasai Revolusi Industri 4.0 atau Industri 4.0 bagi melengkapkan strategi perniagaan masing-masing.

“Oleh itu, mereka (ahli perniagaan) perlu melabur dalam aspek modal insan kerana tanpa pendekatan proaktif, perniagaan dan pekerja mungkin hilang potensi ekonomi dalam era digital ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran 5G semalam.

Dr Mahathir berkata, kerajaan pada November tahun lalu sudah membentuk Pasukan Petugas 5G bagi mengenal pasti potensi yang boleh diperoleh daripada 5G.

Beliau berkata, perubahan dari 4G ke 5G bukan perkara yang boleh dilakukan semalaman, sebaliknya memerlukan usaha yang ketara dalam penyelidikan dan pembangunan, kerjasama industri dan sumber yang diperlukan untuk menyokong usaha itu.

“Saya dengan sukacitanya menyatakan bahawa kerajaan akan memulakan Rancangan Fiberisasi dan Penyambungan Nasional (NFCP) untuk memastikan kesediaan dan penggunaan teknologi 5G yang tepat pada masanya.

“Teknologi 5G akan memberi kesan kepada setiap industri yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, industri seperti pembuatan menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun lalu dan kekal penting kepada ekonomi negara.

Dr Mahathir berkata, menerusi pembuatan pintar atau komunikasi jenis mesin secara besar-besaran, kerajaan berharap dapat menarik pelaburan dengan nilai tambah tinggi, teknologi tinggi dan pengetahuan intensif dalam bidang seperti aeroangkasa, bahan dan produk kimia, jentera dan peralatan, peralatan perubatan serta elektrik dan elektronik.

“Menerusi sektor pembuatan, ia membolehkan Malaysia secara konsisten mempamerkan dinamik dan ketahanan untuk berkembang serta menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

“Untuk itu kerajaan memperkenalkan Industri 4ward untuk sektor pembuatan yang menyentuh pembiayaan, infrastruktur, peraturan, bakat dan akses kepada teknologi bagi membolehkan pengeluar mengintegrasikan revolusi teknologi 4.0 seperti kecerdasan buatan (AI) dan data raya ke dalam operasi mereka.

“Matlamatnya adalah untuk negara berada kalangan 30 negara dalam senarai Indeks Inovasi Global pada 2025,” katanya. – WD MY