BANGKOK, 4 NOV – RAKAN….. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu rakan sejawatannya dari New Zealand, Jacinda Ardern di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Kemuncak berkaitan di sini.

Dalam pertemuan yang berlangsung 30 minit di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT di Nonthaburi, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama, termasuk perubahan iklim, isu dua hala dan perdagangan serta Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di Kuala Lumpur.

Kali terakhir Malaysia menjadi penganjur APEC pada 1998.

Kedua-dua pemimpin juga berkongsi pengalaman untuk memerangi keganasan.

Dr Mahathir juga menzahirkan penghargaan kepada Ardern kerana berjaya menangani insiden keganasan di Christchurch pada Mac tahun ini.

Seorang remaja Malaysia berusia 17 tahun meninggal dunia dalam serangan keganasan di masjid semasa solat Jumaat itu. Tiga lagi rakyat Malaysia mengalami kecederaan dalam serangan itu.

Dr Mahathir mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-35. – WD MY