PORT DICKSON, 20 JULAI – GESA… Di temu rapat PKR yang bermula malam tadi, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menggesa pergeseran yang kian memuncak dalam parti itu ditamatkan.

Bagaimanapun ketiadaan Mohamed Azmin Ali, timbalan presiden PKR yang bertembung dengan Anwar, dalam program itu membangkitkan tanda tanya.

Azmin bagaimanapun dijadual berucap dalam temu rapat itu esok.

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar berkata ketengangan itu perlu diselesaikan demi perkara yang lebih penting.

“Sedikit sebanyak masalah kita leraikan segera, kerana kita bertanggungjawab memperkukuhkan kerajaan PH.

Mahathir pula mengingatkan PKR saat sebelum PRU ke-14, di mana semua pihak dalam PH mampu mengenepikan perbezaan dan “kebencian” untuk maju ke hadapan.

“Kita bertemu dan berbincang, kita bertengkar dan kemudian berdamai.

“Walaupun mungkin masih ada saki-baki (pihak) yang rasa tidak puas hari terhadap beberapa perkara, kita ketepikan dan kita maju sebagai satu pasukan,” katanya lagi.

Pertembungan antara Anwar dan Azmin semakin tegang minggu ini apabila Anwar berkata Azmin perlu meletakkan jawatan jika video seks yang mengaitkannya itu dibuktikan benar, dan Azmin membalasnya dengan memintanya untuk “cermin diri sendiri”.

Dalam pada itu, Mahathir memberi amaran berkenaan oportunis dan pensabotaj yang boleh meruntuhkan kerajaan PH jika tidak ditangani.

Ketika ditemui selepas pembukaan acara itu, kedua-dua Mahathir dan Anwar enggan mengulas ketidakhadiran Azmin.

Bagaimanapun beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan kem Azmin terutama ketika pemilihan parti tahun lalu, antaranya Naib Presiden Dr Xavier Jayakumar, dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Elizabeth Wong dan Rashid Hasnon hadir pada malam ini.

PKR untuk beberapa tempoh terbahagi kepada penyokong Anwar dan Azmin namun keadaan itu kelihatan bertambah buruk sejak beberapa bulan ini susulan tersebarnya video seks yang mengaitkan Azmin.

Spekulasi mengatakan ia berkaitan dengan perebutan jawatan perdana menteri susulan dakwaan bahawa Mahathir lebih memilih Azmin untuk menggantikannya, walaupun dengan persetujuan awal Anwar akan mengambil tempat itu.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi yakin pihak yang bertanggungjawab di belakang klip video itu adalah dari dalam PKR.

Setiausaha politik Anwar antara individu yang ditahan susulan siasatan kes itu. Presiden PKR itu bagaimanapun menafikan penglibatannya.

Polis juga berkata sementara kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi, proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan Azmin. – WD MY