LONDON, 17 JUN – TERBUKA…… Beratus-ratus tetamu hari ini memeriahkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang diadakan di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens.

Kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang melakukan lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK), menambah seri kepada majlis berkenaan.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan Syed Sadiq Abdul Rahman. Hadir sama, anak perempuan Dr Mahathir, Marina.

Jemputan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan warga asing, diraikan dengan sajian Malaysia antaranya sate, ketupat, lemang, nasi ayam, kuih-muih hari raya dan teh tarik.

Mereka tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Dr Mahathir dan merakam gambar sebelum Perdana Menteri berlepas ke Cambridge untuk menyampaikan ceramah kepada Cambridge Union.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK, Datuk Mohamad Sadik Kethergany memberitahu media Malaysia kira-kira 3,000 tetamu dijangka berkunjung ke majlis itu hari ini.

Dr Mahathir, ketika mengalu-alukan kedatangan tetamu itu, berkata beliau terkejut apabila melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang tinggal di London.

“Ayuh rakyat Malaysia, pulanglah ke tanah air dan bantu kami membina semula Malaysia,” katanya kepada tetamu yang kelihatan ingin benar untuk bertemu beliau.

Sementara itu, Qaisy Jaslenda yang bekerja sebagai arkitek di London sejak lebih tiga tahun lalu, berkata majlis sambutan rumah terbuka itu membantu menyemarakkan semula semangat rakyat Malaysia.

Qaisy yang berasal dari Shah Alam berkata beliau bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Orang ramai yang melihat saya berjalan ke sini dengan berbaju Melayu dan berkain samping berkata saya kelihatan hebat,” katanya yang bangga dengan warisan Malaysia itu.

Balqis Azhar dari Gombak, Kuala Lumpur, seorang pelajar undang-undang tahun tiga di Queen Mary University of London berkata majlis itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bertemu dan menjalin atau mempereratkan semula tali persahabatan.

Qaisy dan Balqis berkata suasana di majlis itu “bagaikan berada di tanah air meskipun kami jauh di perantauan”. – WD MY