KUALA LUMPUR, 20 APRIL – HAIRAN…. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hairan dengan potensi penarafan kredit negara diturunkan oleh agensi penarafan berikutan keputusan kerajaan untuk menyelamatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berdepan masalah kewangan.

“Agensi-agensi penarafan berkata dengan memberikan RM6 bilion untuk membantu syarikat adalah salah dan mereka mungkin menurunkan penarafan Malaysia, tetapi apabila Malaysia berhutang RM1 trilion, mereka tidak bercakap tentang menurunkan penarafan,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary malam tadi.

Beliau berkata kerajaan telah menyelamatkan sejumlah besar wang dengan menyelesaikan isu berkaitan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), FELDA, TH dan, terbaru Bandar Malaysia.

“Saya rasa agensi-agensi penarafan mempunyai cara dan kriteria mereka sendiri (dalam menentukan penarafan kredit), tetapi hakikatnya adalah, kerajaan terdahulu telah menyebabkan defisit dalam bajet sebelum ini, tetapi mereka mengekalkan penarafan.

“Kini apabila kami cuba menyelesaikan masalah, kami diberitahu ia adalah langkah yang salah,” katanya.

Agensi penarafan antarabangsa Moody’s Investors Service dalam notanya, menyatakan beban hutang kerajaan lebih tinggi daripada median penarafan berdaulat A, dan pakej bantuan sebanyak RM6.23 bilion untuk FELDA sebagai kredit negatif bagi penarafan negara.

Sementara itu, penyedia indeks global, FTSE Russell sedang menimbangkan kemungkinan mengeluarkan Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE berikutan kebimbangan mengenai pasaran mudah tunai yang mungkin membawa kepada penarafan diturunkan.

Mengulas lanjut mengenai projek ECRL, Dr Mahathir berkata beliau percaya kerajaan akan berjaya mendapatkan semula kebanyakan pelaburan atau menyelesaikan kebanyakan masalah berkaitan dengan pelaburan selepas rundingan semula berhubung projek itu.

“Kami sedang mengkaji untuk mengurangkan lagi kos dan kami mempunyai kaedah lain untuk mengurangkan kos itu,” katanya.

Mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), beliau berkata kerajaan mempunyai masa dua tahun untuk memikirkannya selepas kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan projek itu.

“Kontrak (berkaitan HSR) masih belum diberikan dan kami ada masa dua tahun untuk memikirkannya.

“Sehingga kami selaraskan dan merumuskan cara baharu untuk melaksanakan projek HSR yang tidak terlalu mahal, (hanya) pada ketika itu kami akan berikan kontrak-kontrak,” katanya. – WD MY