KUALA LUMPUR, 21 MAC – PAKISTAN…. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan dianugerahkan pingat awam tertinggi Pakistan, ‘Nishan-e-Pakistan’ atau Order of Pakistan, semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara itu bermula Khamis ini.

Anugerah itu diberikan atas sumbangan Dr Mahathir kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Ikram Mohammad Ibrahim berkata anugerah berkenaan akan disampaikan oleh Presiden Pakistan Arif Alvi sewaktu kunjungan Perdana Menteri ke atas Arif di Istana Presiden, Aiwan-E-Sadr pada hari kedua lawatan.

Beliau berkata, terdahulu, pada sebelah pagi hari kedua, Perdana Menteri akan diberikan sambutan ketibaan rasmi oleh rakan sejawatannya Perdana Menteri Imran Khan di Prime Minister’s House.

“Selepas itu, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat empat mata dan seterusnya mesyuarat delegasi dua hala Malaysia dan Pakistan,” katanya kepada media Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan di Islamabad hari ini.

Mesyuarat dua hala itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak menilai prestasi semasa hubungan dua hala serta mengenal pasti ruang kerjasama lain yang boleh diterokai untuk manfaat bersama kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut berpeluang untuk berbincang dan bertukar pandangan berkenaan isu-isu serantau dan global demi kepentingan bersama.

Ikram berkata pada hari kedua juga, kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan simbolik majlis pecah tanah kilang Proton di wilayah Sindh, yang akan dilakukan di sebuah hotel di Islamabad.

“Pada majlis di hotel itu, Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) dan Perdana Menteri Imran (Khan) akan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama Ketua-ketua Industri Malaysia dan Pakistan.

“Kedua-dua mereka akan turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman dan kerjasama antara syarikat Malaysia dan Pakistan,” katanya.

Ikram berkata pada hari ketiga lawatan, Dr Mahathir dijadualkan menghadiri sambutan perbarisan Hari Pakistan 2019 di Shakar Parian di Islamabad.

“Beliau telah dijemput oleh Perdana Menteri Imran sebagai tetamu kehormat untuk majlis itu yang disambut setiap tahun pada 23 Mac,” katanya.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Mahathir ke Pakistan sejak menjadi perdana menteri ketujuh.

Sewaktu menjadi perdana menteri keempat beliau pernah melawat Pakistan tiga kali iaitu pada 1984, 1997 dan 2002.

Tahun ini merupakan tahun ke-62 hubungan diplomatik Malaysia dan Pakistan. Pakistan merupakan rakan perdagangan Malaysia yang ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara Asia Selatan.

Pada tahun 2018, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan nilai sebanyak RM5.91 billion iaitu peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding jumlah RM5.76 billion yang dicatatkan pada 2017.  – WD MY