SERI KEMBANGAN, 13 APRIL – TEGAS….. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan orang Melayu perlu menukar nilai hidup, sanggup bekerja keras dan sentiasa meningkatkan produktiviti jika mereka tidak mahu merempat di bumi sendiri.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, bangsa Melayu patut mencontohi kerja keras dan budaya hidup diamalkan oleh orang Jepun yang tidak pernah berputus asa, biarpun negara mereka musnah akibat Perang Dunia Kedua.

Dr Mahathir sendiri berkesempatan melihat bagaimana orang Jepun bekerja keras untuk memajukan negara matahari terbit berkenaan, biarpun hanya menerima upah yang amat rendah, iaitu seketul bebola nasi berkuah sos soya ketika melawat negara berkenaan pada 1961.

“Justeru bangsa Melayu perlu menukar cara hidup dan pemikiran dengan menjadikan orang Jepun sebagai contoh terbaik jika mereka tidak mahu melihat Malaysia dikuasai bangsa asing.

“Kenapa kita lihat orang asing hidup senang lenang di Malaysia? Ini kerana ramai anak muda kita enggan bekerja. Maka berjuta warga asing datang mencari rezeki di Malaysia sejak 70 tahun lalu.

“Keadaan ini bermula di era penjajahan British lagi dan akhirnya sekarang ini kita jauh ketinggalan di belakang, biarpun mereka keturunan dari negara luar,” katanya katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Gala Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, jika orang Melayu enggan bekerja keras, mengubah cara hidup dan berfikir, mereka akan menjadi golongan termiskin dan ketinggalan jauh di belakang kaum lain.

“Kalau kita masih lagi menanti sehingga kita mendapat kerja bersesuaian dengan kelulusan, maka mungkin suatu hari nanti kita akan kehilangan negara kita ataupun menjadi golongan atau kaum termiskin di negara yang sudah mencapai taraf negara maju.

“Sebenarnya otak dan pemikiran kita sama geliga dengan orang Jepun dan perlu mengubah cara berfikir dan budaya hidup,” katanya.

Beliau berkata, tiada guna Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi jika rakyat menjalani kehidupan kesusahan akibat peningkat kos sara hidup dan kekurangan produktiviti serta perkhidmatan.

“Apa guna Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju dengan bangunan pencakar langit, lebuh raya moden jika kebanyakan orang kita miskin kerana kekurangan produktiviti dan kadar tukar wang asing masih rendah akibat enggan menukar budaya dan, nilai hidup, ” katanya.

Berikutan itu, Dr Mahathir memuji tindakan alumni MRSM yang sanggup berusaha keras dan mengubah nilai serta cara pemikiran untuk memperbaiki taraf sosioekonomi keluarga masing-masing yang dulunya tergolong daripada mereka kurang berkemampuan dan miskin. – WD MY