KUALA LUMPUR, 15 Jan – Sedar…. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menghina pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah, ibarat ‘menjilat ludah’ sendiri apabila mahu meneruskan pula bantuan itu jika pembangkang berkuasa.

Malah, Pengerusi Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata lebih mengejutkan, Dr Mahathir juga menukarkan BR1M sebagai bantuan berkanun yang ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Dr Mahathir sedar pemberian BR1M adalah berkesan membantu rakyat menyebabkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu membuat pusingan U.

“Selepas menghina kumpulan B40 yang menerima ‘rasuah’ (BR1M), sekarang beliau akan meneruskan pemberian BR1M sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Beliau tahu pemberian tunai seperti BR1M adalah popular dan berkesan, sebab itulah dia membuat pusingan U,” katanya menerusi entri terkini dalam laman Twitter hari ini.

Selain itu, katanya Dr Mahathir juga membuat pusingan U apabila mahu memperkenalkan cukai baharu menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dimansuhkan.

Kenyataan itu jelas bercanggah dengan dakwaan beliau baru-baru ini yang melabelkan BR1M kononnya rasuah yang diberi oleh kerajaan. – WD MY