KUALA LUMPUR, 1 Jan – Tidak Berhak…… Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan cuba mengambil hak Tuhan apabila menyatakan jemaah haji ditaja menerusi Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak mendapat haji mabrur.

Tan Sri Harussani Zakaria, berkata tuduhan bekas Perdana Menteri itu boleh memudaratkan ummah, selain dikhuatiri mencetuskan kacau-bilau dalam kalangan masyarakat Islam.

“Manusia tidak berhak menentukan haji seseorang itu mabrur dan diterima Tuhan atau tidak.

“Itu bukan hak manusia tapi hak Allah. Allah yang tentukan haji itu sah atau tidak sah, apatah lagi rakyat tidak berdosa yang menerima tajaan (bantuan) daripada seorang Perdana Menteri, apakah ia (bantuan) tidak baik.

“Macam mana kita nak kata haji diterima atau tak, siapa yang rekod (kerana) yang tentukan Allah, itu hak Tuhan. Oleh itu, janganlah kita melampau sampai hak Tuhan pun nak diambil,” katanya.

Harussani berkata, tiada bukti jelas hingga ke hari ini yang menyatakan dana digunakan untuk tajaan jemaah terbabit diperoleh daripada sumber haram.

Justeru, beliau meminta Dr Mahathir berhenti daripada membuat dakwaan selain membuktikan apa yang dikata itu dengan menyerahkan keterangan kepada pihak berkuasa.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam ceramahnya di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini, menyifatkan orang yang melaksanakan ibadat haji menerusi tajaan Yayasan 1MDB, tidak akan mendapat haji mabrur.

Dr Mahathir turut mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memanfaatkan jutaan rakyat sebagai rasuah dan haram diterima. – WD MY