BAGAN DATUK, 13 Jan – TIDAK….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang yang tidak konsisten pendiriannya selepas menyatakan keengganannya menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata Dr Mahathir membuat dakwaan menyatakan dirinya dipaksa menjadi perdana menteri hanya setelah terdapat komen-komen segelintir pihak selepas Pakatan Harapan menamakan beliau untuk jawatan itu.

“Beliau (Dr M) (sekejap) konsisten dan tidak konsisten. Apabila Pakatan Harapan mengumumkannya sebagai perdana menteri dan terdapat komen sebaliknya terhadap pencalonan beliau, maka beliau berkata beliau dipaksa.

“Saya tak nak masuk campur tentang parti orang lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Multaqa Permuafakatan Masjid, Surau dan Sekolah Agama Rakyat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak hari ini.

Dr Mahathir dalam ucapannya di Johor Bahru baru-baru ini menegaskan beliau tidak mahu menjadi perdana menteri, sebaliknya diminta untuk memegang jawatan itu sekiranya pembangkang memenangi PRU14.

Beliau mendakwa sebenarnya beliau mahu berehat, namun tidak dapat berbuat demikian sehingga hari ini sejak menyerahkan jawatan itu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. – WD MY