SINGAPURA, 2 MAC – AIR….Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan berkata kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai rundingan harga air dengan Singapura sebagai ‘kurang tepat’.

Balakrishnan berkata pada 1987, Malaysia berhak menyemak semula harga air berdasarkan Perjanjian Air 1962 tetapi enggan berbuat demikian.

“Malaysia sebelum ini mengambil maklum pihaknya memilih untuk tidak menyemak semula perjanjian itu pada 1987 kerana mereka (Malaysia) mendapat manfaat daripada penetapan harga berkenaan.

“Mahathir… merupakan perdana menteri pada ketika itu dan beliau menjelaskan Malaysia tidak menyemak semula harga itu kerana sebarang kajian semula akan memberi kesan terhadap harga air terawat yang dijual Singapura ke Malaysia,” kata Vivian kepada parlimen Singapura semalam.

Balakrishnan berkata Singapura menjual kira-kira 16 juta gelen air terawat setiap hari kepada Johor, dengan harga subsidi dan jauh melebihi kewajipannya untuk menjual hanya lima juta gelen air sehari.

Pada Khamis lalu, Mahathir menggesa rakyat Johor supaya berjuang untuk mendapatkan harga air yang lebih baik dengan Singapura, kerana kadar semasa 3 sen bagi setiap 1000 gelen adalah terlalu murah.

Perjanjian air semasa dengan Singapura berkuatkuasa sehingga tahun 2061. – WD MY