KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ramal……Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam meramalkan pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat.

Katanya, Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal sebelum parti baharu bawah kepemimpinan Tun Mahathir Mohamad dapat bertapak.

“Jika benar (pilihan raya lebih awal), cabaran paling besar untuk parti baharu itu adalah mendapatkan kesepakatan dan persetujuan bersama daripada parti pembangkang bagi membentuk satu kuasa yang padu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buku baharunya “Frankly Speaking” di Kuala Lumpur Golf and Resort di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Pelancaran buku itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Yang turut hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Buku berkulit keras itu diterbitkan Pelandok Publications Sdn Bhd mula dipasarkan mulai hari ini.

Mengulas mengenai penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, katanya, parti itu mungkin tidak akan menjadi lebih-lebih lagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, parti itu berhadapan laluan sukar pada pilihan raya akan datang sama ada mereka bergerak sendiri atau bersama dengan pakatan pembangkang.

“Sama ada menjadi parti yang bersendirian atau bersama pembangkang, cabaran besar dihadapi parti itu adalah mendapatkan persetujuan bersama terutama dalam hal berkaitan pengagihan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Berdasarkan pengalaman dan sejarah, telah terbukti bahawa setakat ini parti pembangkang gagal mencapai persetujuan bersama daripada soal pengagihan kerusi hingga mengenai dasar dan perjuangan parti masing-masing,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY