KUALA LUMPUR, 31 Okt  — LANCAR… Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) hari ini melancarkan Program Tunas Juara Remaja BAKTI (TJRB) sebagai kesinambungan kepada Tunas Juara BAKTI (TJB) yang diwujudkan pada 2006 untuk mencungkil bakat pelajar dalam sukan badminton.

Isteri perdana menteri merangkap Yang Dipertua BAKTI Datin Seri Rosmah Mansor berkata TJRB direka khusus untuk bekas pelatih TJB yang tidak diserap masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil selepas tamat program itu namun masih berminat meneruskan latihan badminton.

“Berdasarkan pencapaian cemerlang pelatih di bawah program Tunas Juara BAKTI, kami menyedari kepentingan mewujudkan kesinambungan program ini supaya bakat yang dicungkil seawal usia muda ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Saya percaya para pelatih Tunas Juara BAKTI yang menjangkau usia remaja berpotensi mengorak langkah lebih jauh dan sememangnya layak diberi bimbingan latihan profesional untuk terus mara ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap melancarkan TJRB di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan semalam.

 

Rosmah berkata selain alumni TJB, program TJRB juga dibuka kepada pelajar SMK Seri Bintang Selatan dan sekolah lain di sekitar Kuala Lumpur yang mempunyai potensi dalam sukan itu.

Katanya, sejak diwujudkan 11 tahun lepas, program TJB yang memberi latihan terancang kepada pelajar berumur tujuh hingga 12 tahun berjaya mencungkil bakat dan juara dalam kejohanan badminton kategori bawah 12 tahun serta pelbagai kejayaan lain termasuk beberapa pelatih yang diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, selain menjadi anak didik BAM.

Rosmah berkata tanggungjawab melahirkan juara bukan perkara mudah dan memerlukan penglibatan, pengorbanan dan kerjasama banyak pihak untuk memastikan pemain berada dalam keadaan optimum bagi mencapai prestasi cemerlang.

Beliau turut menasihatkan pelatih TJB dan TJRB untuk fokus, berlatih secara tekun dan gigih dan melengkapkan diri dengan sikap positif dan disiplin yang tinggi.

“Jangan sekali-kali ragu dengan kebolehan anda menghadapi apa jua dugaan dan halangan yang datang, anda harus mempunyai semangat juang tanpa mudah mengaku kalah”, katanya.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara BAKTI, SMK Seri Bintang Selatan dan penaja utama program, Aero Sports Adidas. – WD MY