PUTRAJAYA, 1 Julai – Tunggu…….Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sedang menunggu laporan daripada Wisma Putra berhubung perkembangan terbaharu isu penindasan etnik Rohingya di Myanmar.

Ahmad Zahid berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan mengambil tindakan kemanusiaan dan tindakan diplomatik mengikut nasihat yang diberikan oleh Wisma Putra,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya, Sri Satri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa Myanmar menghalang kemasukan anggota penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi fokus kepada dakwaan pembunuhan, rogol dan penyiksaan oleh pasukan keselamatan negara itu terhadap etnik Muslim Rohingya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyifatkan peningkatan kedudukan penarafan terhadap Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat baru-baru ini sebagai bukti kerajaan serius untuk menangani isu pemerdagangan manusia.

 

​​​​​​​

“Malaysia telah diberi penarafan Tahap 3 pada lima tahun lepas… dan kita telah mengambil beberapa langkah drastik yang selepas itu telah meletakkan Malaysia ke Tahap 2,” katanya.

Ahmad Zahid berkata peningkatan penarafan tersebut adalah hasil kerjasama bersepadu tujuh kementerian, 10 jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan serta 13 badan bukan kerajaan dalam menangani isu perhambaan moden itu yang dilakukan susulan lapan mesyuarat yang dipengerusikan beliau sendiri.

“Ini adalah usaha kita untuk memastikan imej Malaysia di mata dunia harus dipertingkatkan dan penarafan sebegini harus diperoleh,” katanya.

Jelasnya sewaktu lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia sebelum ini, pemimpin itu telah menetapkan tujuh syarat bagi memberi peluang kepada Malaysia untuk menyertai program pengecualian visa Amerika Syarikat.

Kata Ahmad Zahid, syarat yang ditetapkan telah pun dipenuhi oleh kerajaan termasuk kadar penolakan permohonan visa kurang tiga peratus, meneliti senarai suspek yang diberikan oleh Interpol serta kedudukan Malaysia yang kini telah berada di tahap yang cukup baik dari segi penarafan isu penyeludupan manusia dan keselamatan. – WD MY