Tunjuk Perasaan Selepas Anggota Polis Dibebaskan Tuduhan Menembak Mati Pemandu Kulit Hitam

0
49

WASHINGTON, 18 Jun – Protes……. Lebih 18 penunjuk perasaan ditahan kerana menghalang lalu lintas di lebuh raya utama di St Paul, Minnesota, awal pagi semalam, selepas seorang anggota polis dibebaskan daripada tuduhan menembak mati pemandu kulit hitam.

Insiden polis menembak seorang pemandu kulit hitam itu berjaya dirakamkan orang ramai.

Demonstrasi bantahan di bandar itu berlaku sebaik anggota polis terbabit, Jeronimo Yanez, 29, dibebaskan daripada semua tuduhan menyebabkan kematian Philando Castile, 32, ketika pemeriksaan trafik pada Julai tahun lalu.

Kes kematian Castile adalah antara siri berprofil tinggi membabitkan pembunuhan penduduk kulit hitam oleh pihak polis.

Insiden tembakan ke atas Castile yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook mengejutkan rakyat Amerika Syarikat.

Dalam video itu, Yanez dirakamkan menembak beberapa kali ke arah Castile.

Dalam keterangannya, Yanez menyangka lelaki itu cuba mengambil pistol, namun ia dinafikan teman wanitanya, Diamond Reynolds.

Reynolds berkata, Castile sedang mengambil beg dompetnya. – WD MY