JOHOR BAHARU, 15 April – Pemangku Sultan Johor…… Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan
Ibrahim hari ini dilantik sebagai Pemangku Raja Johor selama ketiadaan Sultan
Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di negeri ini bermula esok hingga
3 Mei ini.

Pengisytiharan pelantikan oleh Sultan Ibrahim itu dibacakan Yang Dipertua
Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli dalam majlis istiadat
pengisytiharan Pemangku Raja di Istana Bukit Serene di sini.

Pelantikan atas nasihat dan pesertaan jemaah Majlis Diraja itu dilakukan
mengikut Fasal 9 (1) (c) dan (3) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan
Johor 1895.

Ia membolehkan Tunku Ismail menunaikan tugas-tugas mentadbir negeri
berikutan keberangkatan ayahanda baginda ke Vancouver dalam wilayah British
Columbia, Kanada untuk lawatan rasmi.

Sultan Johor mendapat undangan untuk melawat British Columbia daripada
Leftenan Gabenornya Judith Guichon pada 23 Mac lepas ketika pelancaran Model
Menara Bank Rakyat di sini.

Sultan Ibrahim bertitah baginda yakin dengan kemampuan anakanda baginda
menjalankan tugas serta mentadbir negeri, malah turut menyifatkan ia sebagai
persediaan kepada Tunku Ismail untuk menjadi seorang raja.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris
Iskandar dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY