KUALA LUMPUR, 7 Feb – BOLA……Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipercayai ‘menyindir’ Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Ia merujuk kepada pembayaran tunggakan gaji kepada semua pemain dan pegawai pasukan Kuala Lumpur, termasuk skuad Piala Belia, Piala Presiden dan  Piala Bawah 19 tahun, 30 Januari lalu.

“Bila nak lawan JDT saja, baru nak bayar gaji ke? Bila ada isu oleh kerana kelemahan diri sendiri tak nak mengaku.

“Nak bawa kes ke FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) lah, mahkamah lah. Bila diri sendiri tak betul nak bawak sapa pulak ke Mahkamah?,” katanya menerusi laman sosial Twitter.

Kenyataan Tunku Ismail itu dipercayai berkait rapat dengan tindakan KLFA yang mahu mengheret kes perpindahan Syazwan Andik ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) seperti yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung isu perebutan Akhyar Rashid bersama JDT.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata pihaknya kini dalam proses terakhir untuk memfailkan aduan kepada Jawatankuasa Status FAM dan keputusan untuk mengheret ke CAS hanya akan dibuat sekiranya KLFA tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status FAM.

Terdahulu, Syazwan menyertai JDT musim ini selepas mendakwa kontraknya bersama KLFA tamat serta merta selepas gajinya tertunggak dua bulan.

Pada aksi sulung minggu lalu, JDT membuka aksi dengan langkah kanan apabila menewaskan Perak 1-0 sekali gus mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah manakala The City Boys tunduk kepada Pahang 1-3. – WD MY