KUALA LUMPUR, JAN 1: RUMAH TANGGA… Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim hari ini menolak khabar angin yang berlegar di media sosial baru-baru ini mengenai perkahwinannya dengan Encik Dennis Muhammad Abdullah sedang bergolak.

Sebaliknya Tunku Aminah menganggap khabar angin itu sebagai tidak benar dan berniat jahat.

Dalam satu kenyataan yang dimuatkan laman Facebook Johor Royal Family oleh Royal Press Office, keluarga diraja itu menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menyebarkan khabar angin tidak berasas mengenai kehidupan peribadi mereka.

Tunku Aminah turut menyuarakan rasa tidak senang hati dengan khabar angin yang berlegar di media sosial mengenai perkahwinannya, dan juga yang berkaitan dengan dakwaan ‘urusan perniagaan’ produk penjagaan kulit dan pelangsingan badan.

“Suami saya dan saya bahagia, berbeza samasekali dengan apa yang disebarkan khabar angin,” katanya.

“Saya juga tidak pernah mengiktiraf sebarang produk seperti yang ditulis oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, yang menggunakan nama saya untuk mendapatkan perhatian,” kata Tunku Aminah.

Keluarga diraja Johor berharap tindakan segera diambil oleh pengendali Facebook berkaitan bagi memadamkan kandungan yang berniat jahat itu, selaras dengan ikrar syarikat pengendali memastikan berita palsu ditangani dengan tegas.-MY WD