KOTA KINABALU, 10 Feb – TUNTUTAN….. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata usaha menuntut Sabah bukan pendirian Kerajaan Filipina, sebaliknya hanya bermotifkan politik untuk meraih sokongan bagi sesetengah pihak di negara itu.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kementerian Luar Filipina, Alan Peter Cayetano, pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar di Singapura, baru-baru ini.

Katanya, Alan memaklumkan kerajaan Filipina tidak mungkin mengambil tindakan berkenaan berikutan hubungan akrab kedua-dua negara.

“Alan datang bertemu dengan saya dan memberitahu, perkara itu berlaku semata-mata kerana politik dan ia bagi meningkatkan sokongan terhadap kerajaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Seranta dan Diplomasi Awam bersama Masyarakat Cina Parlimen 176 Kimanis, malam tadi.

Beliau berkara, seperti sebelum ini, Kerajaan Persekutuan dan Sabah tidak akan mengiktiraf tuntutan itu.

Katanya, kedudukan Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak penubuhan negara ini pada tahun 1963. – WD MY