KUALA LUMPUR, DISEMBER 28: DENDA…Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan pengusaha stesen minyak untuk memastikan bekalan petrol dan diesel di premis mereka sentiasa cukup untuk jualan harian menjelang awal tahun depan.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Jamil Salleh berkata, bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha tidak dibenarkan menutup stesen petrol dan diesel atau memberhentikan penjualan bahan api tersebut di stesen mereka tanpa kebenaran.

“Bahan api petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975, justeru kerajaan akan memastikan bahawa pembekalan barang tersebut sentiasa ada di pasaran dan mudah diperoleh oleh pengguna pada setiap masa.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan membuat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen-stesen menjual bahan api bagi memastikan bekalan bahan api tersebut sentiasa mencukupi untuk kegunaan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Jamil dengan itu menafikan dakwaan bahawa pengguna bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel menjelang 1 Januari 2019 seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Menurutnya lagi, melanggar syarat yang terkandung dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.

Kelmarin, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Abu Samah Bachik dilaporkan berkata bahawa semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Hal itu dikhuatiri menyebabkan pengguna bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel bermula tahun depan seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Menurut Abu Samah, perkara itu disebabkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah bermula 1 Januari.

Hal itu menyebabkan pengusaha stesen minyak enggan menambah simpanan tangki menjelang hujung bulan ini dengan harga yang mahal tetapi harus menjual mengikut kadar lebih murah berkuat kuasa 1 Januari.

Tambahnya lagi, apungan harga bahan api secara mingguan itu bulan depan bakal mencetuskan kerugian kepada pengusaha berbanding sistem apungan harga bulanan sebelum ini.-MY WD